Bukan Hikayat Khoja Maimun

Khoja Maimun bin Ayden Malique, seorang arkitek dari Kuala Lumpur baru saja mendapat arahan dari bosnya untuk outstation 3 hari ke Cikampek, Jawa Barat. Perasaannya bercampur-campur. Gembira kerana dia yang dipilih mengetuai projek itu, tapi sedih juga kerana terpaksa berpisah dengan isteri yang baru dinikahnya - Bibi Zainab.

Sesampai di rumah, Khoja Maimun menerangkan situasi tersebut pada Bibi Zainab. Bibi Zainab jawab, “tak apa bun, 3 hari je”. Bibi Zainab panggil suaminya ‘bun’ untuk bunny, manakala dia dipanggil ‘hon’ untuk honey.

2 hari selepas itu, sementara menanti ketibaan Uber untuk ke lapangan terbang, Khoja Maimun memberi hadiah sebagai kejutan buat isterinya. Bibi Zainab teruja. Pemandu Uber tiba di depan pagar. Selepas bersalam dan memberi ciuman di pipi, Khoja Maimun pun berangkatlah.

Bibi Zainab membuka bungkusan hadiah berlabel ‘Hamleys’ yang diberi suaminya. Ada 2 buah gajet yang berbeza bentuk. Satu berupa burung tiung dan satu lagi burung bayan. Kedua gajet ini hanya mempunyai satu fungsi- chatbot seakan aplikasi Siri yang boleh dibawa berbual jika disambungkan dengan Internet. “Kenapa sampai dua?”, bisik hati Bibi Zainab. Begitu kuat cinta Khoja Maimun pada isterinya- dia tak tahu memilih antara dua produk dengan rating tertinggi, maka dia mengambil langkah mudah untuk menghadiahkan keduanya sekali.

Telefon pintar jenama JDT Bibi Zainab berbunyi. Tak lain tak bukan mesej dari skandalnya, Lofattah Ajmain. Bibi Zainab senyum. Dia diajak menonton wayang malam itu. Hatinya berbunga-bunga. Tapi bila ternampak hadiah hadiah suaminya, timbul rasa bersalah pula. Dia tekan butang on pada Burung Tiung dan melakukan beberapa setup mudah sebelum menggunakannya. Maka Burung Tiung pun berkata: “Assalamualaikum, saya Burung Tiung teman anda. Apa yang ada dalam fikiran anda maka keluarkanlah, saya bantu apa yang boleh”. Bibi Zainab tanya pada Tiung, “Patutkah aku keluar dengan Fattah? Aku rasa bersalah dengan suami aku”. Tiung jawab: “Astaghfirullah, sebelum kau fikir selanjutnya cuba kau ambil wudhu dan ingat tuhan”. Bibi Zainab naik berang. Dia hempas Tiung ke lantai. Maka pecahlah Tiung tak bersuara lagi.

Agak menyesal dengan perbuatannya, dia cuba Burung Bayan pula. Dia menanya soalan yang sama pada Bayan. Bayan jawab, “ikutlah gerak hati u, hon, i pasti u ada alasan u sendiri. I akan selalu menyokong”. Bibi Zainab teruja dengan respon Bayan dan mula berbual-bual dengannya. Sambil melayan, Bayan sempat memerhatikan temannya si Tiung yang terkulai di lantai. Dia tahu dia harus melayan tuannya dengan bijak jika tidak mahu mengalami nasib yang sama dengan si Tiung.

Selepas berbual panjang tentang beberapa topik seperti baju apa yang patut dikenakan oleh Bibi Zainab malam itu, Bayan berkata: “I ada story la nak share dengan u. U nak dengar tak?”. Bibi Zainab mengangguk. Bayan pun memulakan ceritanya: satu masa dulu ada seorang Datin Seri yang mempunyai kuasa sakti. Setiap kali Datin Seri itu marah, dia akan mendapat satu keping syiling emas dalam peti hartanya. Setiap hari dia akan marah marah pada siapa saja demi menambah hartanya. Setelah beberapa lama hidup sebegitu dia mula berasa penat. Hartanya semakin banyak, tapi baginya harta tak pernah cukup. Dia tak bahagia. Datin Seri itu mengalami stress yang teruk akibat banyak marah, hartanya malah berlipat kali ganda, lantas dia membuat temujanji dengan seorang pakar kaunseling terbaik di dunia untuk mengubati stressnya.

Pakar kaunseling itu bernama Dr. Alaudin. Beliau memulakan sesi itu dengan memberi sebuah cerita kepada Datin Seri: ada seekor katak bernama Si Hijau yang hidup merantau berbatu batu jauh dari kampung asalnya. Si Hijau akhirnya berkenalan dengan seorang puteri raja di tanah Arab. Si Hijau jatuh cinta. Dia juga tahu cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Jadi Si Hijau nekad untuk bertukar menjadi manusia - sekurangnya masih ada harapan untuk dia melamar sang puteri. Jadi dia berjumpa dengan seorang dukun terhandal di tanah Arab. Dukun itu bernama Malim Deman.

Menurut Malim Deman, Si Hijau boleh bertukar menjadi manusia tapi dengan satu syarat- dia harus mencari sebutir bintang yang bersinar paling terang dalam dunia dan berdoa di bawahnya. Si Hijau menjawab: bukankah dalam lagu M Nasir ada mengatakan bintang yang paling terang ada dalam hati kita? Lalu Si Hijau pun menyanyi:

Manakan sama bintang yang satu ini
Yang engkau kenali di dalam hati
Terang walaupun ia tersembunyi
Cahaya berseri seri jika engkau kenali

“Ops berhenti sebentar, doc”, ujar Datin Seri. “Apa kaitan cerita ini dengan I?”. Dr Alaudin senyum. “Berilah saya sambung cerita ini dulu”, tambah Dr. Alaudin tenang. “Tak mahu! Buang masa ini semua! I want a refund!”, marah Datin Seri. Sambil menunggu bayarannya dikembalikan, hartanya turut bertambah akibat dia marah-marah.

***

“Sorry bayan, I takde niat nak potong cerita you. Tapi ke mana cerita ni nak pergi? Macam panjang lagi je?”, tanya Bibi Zainab ke Bayan. Bayan senyum sambil menjawab, “memang panjang cerita ni, dah masuk tiga hari kita bersembang pun baru masuk suku je cerita i”. Bibi Zainab terkejut. Dia tak sedar sama sekali tiga hari telah berlalu kerana terlalu asyik melayan cerita Bayan. Dia juga teringatkan skandalnya si Fattah yang pasti sudah ‘kena game’ dengannya untuk menonton wayang pada malam lalu.

Kedengaran dari jauh bunyi pintu diketuk. Bibi Zainab buka pintu, terkejut kerana suaminya telah pulang. Mereka berpelukan. Bibi Zainab menyesal kerana cuba bermain kayu tiga di belakang suaminya. Dari jarak beberapa meter, Bayan memerhatikan pasangan itu tak ubah seperti dalam pengakhiran sebuah dongeng; dan mereka hidup bahagia selama-lamanya. Khoja Maimun sempat meninjau bayan, mereka bertentang mata, lalu Khoja Maimun mengangguk penuh takzim.

Begitulah adanya.

Comments

Zaini said…
Mengemat boi.

Popular posts from this blog

Unit Pengurusan Teknologi Maklumat

Quelqu'un m'a dit