Tuesday, January 10, 2012

the return of the king


Segalanya telah tertulis- tapi kata orang, lagenda yang sebenar, menulis skripnya sendiri.

welcome home king henry

Tuesday, December 27, 2011

Loji

Hari itu langit kelihatan tenang. Sekawan burung kelihatan terbang dalam satu formasi berbentuk segi tiga sambil berkicau sahut menyahut. Gua, si kacang dan baby di dalam kereta, terperangkap di dalam jam. Walaupun jam tapi gua tak terasa sangat sebab gua tengah rancak berbual dengan si kacang.


"kenapa loji mesti bau macam tu ha?" Soal si kacang

"tu semua psikologi je tu, sama macam lori sampah jugak kan bau dia sama je..hidung kita yg dah project macam tu" jawab gua konfiden.

Perbualan itu berlarutan untuk seketika. Persoalan kat sini skarang, ape kejadah gua boleh beborak topik loji ni? Takde topik lain?

Dengan tenang gua flashback macamana topik ni boleh mula

"eh apa bau busuk gila ni?" Tanya si kacang.

"bau loji ni, ada loji dekat2 sini kot" gua membuat inferens.

"tu la...tajam tu bau"

Gua senyum nipis. Pengajaran di sini kalau nak kentut, pastikan kentut tu terlalu busuk supaya orang lain ingat itu bukan kentut

posted from Bloggeroid

Saturday, December 24, 2011

pagi-pagi dah bikin gua manly tears

interview bersama arwah sehari sebelum hari kematian beliau



internet meme

aku tak nak komen pasal blog yang berhabuk, anggaplah tahun 2011 ini bukan tahun untuk aku menulis blog.

tahun 2011 boleh disimpulkan sebagai tahun internet meme, jadi kerana internet meme jugalah yang buat aku terasa macam nak up satu post dalam blog ini. memperkenalkan, OH HARAM GUY. (inspired by drama 'oh haram'- semua benda nak haram!)


Saturday, June 11, 2011

the monk (sufi) who sold his ferrari (mercedes)


Seorang lelaki yang fizikalnya aku rasa 10 tahun lebih muda muncul di pejabat pagi ini, mencari aku- yang aku amati kemudiannya- adalah kawan karibku yang telah 3 tahun menghilang. Borhan atau nama glamornya Dato B- dulunya seorang jutawan, memiliki segalanya, tiba-tiba muncul hari ini tetapi aku lihat terlalu banyak yang lain pada dirinya. Kalau dulu dia kelihatan lebih tua dari umurnya, kini perutnya yang ke depan itu telah hilang. Muka beliau kini kelihatan bercahaya, seolah-olah ada aura positif terpancar dan melambai-lambai ke arah siapa sahaja yang memandangnya. Senyumannya, yang dulu sangat sukar untuk aku lihat, kelihatan begitu meyakinkan. Siapa sangka Dato B peguam terkenal dengan mercedes cls-nya, kini aku lihat seperti seorang pendakwah kontemporari moden.

"lama tak jumpa, sahabatku!", Borhan mendepakan tangan. Kami berpeluk erat.

Kami berbual panjang, sehingga sampai ke 'moment' yang aku nanti-nantikan.

"aku dengar kau pergi merantau? apa kau buat 3 tahun menghilang?"

"aku ke kaherah, sahabatku. Aku belajar dengan sufi di sana. Aku jual segala harta yang aku ada dan cuba mencari 'diri' aku yang sebenar. Gembira aku khabarkan, yang sekarang aku boleh katakan aku dah jumpa"

"hmm", jawab aku, awkward.

"aku telah berguru dengan sufi abduh di kaherah, mengenai mind, body and soul- dan yang paling penting, aku mendekati islam. Kau tahu apa bayaran yang perlu aku beri untuk menuntut ini semua? aku hanya perlu berjanji untuk menyebarkan ilmu aku ini. dan aku lihat dalam diri kau, aku nampak diri aku. Jadi aku mahu kau jadi orang pertama untuk aku turunkan ilmu ini"

aku tarik nafas dalam-dalam. "camnila borhan. aku dah banyak dah dengar pasal wahabi-wahabi ni. ermm ok-ok camni apa kata nanti kita jumpa sebab aku pun banyak keje skang..nanti aku call k. ok weh aku gi buang air dulu.. salah makan kot hehe"

TAMAT


Thursday, June 09, 2011

trollface part one



kasino

Umur aku, waktu itu, baru 9 tahun. Jam di dinding kelas aku tenung. Jarum pendek menunjukkan nombor 11, jarum panjang di nombor 3. "1 jam dan 45 minit lagi", bisik aku setelah mengambil 1 minit untuk membuat kiraan. Aku mula membuat kira-kira dengan wang belanja yang diberi ibu. Berkat menahan perut pada waktu rehat, modal aku boleh dikatakan sangat mencukupi.

Loceng sekolah berbunyi. Aku toleh mok, ah chong, jabbar dan ikan. Mereka kelihatan fokus. Kami berpandangan, kemudian kepala diangguk serentak.

2 ringgit untuk tikam 50 sen. 1 ringgit untuk tikam 20 sen. Jika ada untung, beli lagi tikam 20 sen. Jika dapat 'terima kasih', jawab sama-sama. Aku masih muda untuk memahami risk/reward ratio dan position sizing, tapi aku tahu apa yang aku buat.

Kami bergerak ke kedai cik siah, di sana ada 5 jenis permainan 'tikam'- Kasino yang paling ramai kanak-kanak berjudi di dalamnya.

Thursday, May 12, 2011

cerita pasal bola

setelah menjadi penyokong pasukan negeri sembilan selama kira-kira 20 tahun, macam pasaran saham, aku pernah melalui 'bullish period' di mana stadium sentiasa penuh dan persatuan bolasepak mampu menjual apa saja dengan laris. aku ingat dulu negeri sembilan pernah buat buku khas, dalam tu ada biodata setiap pemain, poster dll. dan aku terpaksa booking dekat kedai runcit sebab bila ada stok, pasti habis macam pisang panas.

Fasa berikutnya adalah sesuatu yang boleh dilupakan.

Sejak kemenangan Malaysia di sukan sea dan kemudiannya AFF Suzuki, aku nampak bolasepak malaysia mahu kembali ke era yang aku sebut di atas. orang putih kata when you hit rock bottom, the only way is up, up, up. Antara faktor penting untuk merealisasikan perkara ini ialah penyokong. Penyokong mesti ada walaupun pasukan itu dalam prestasi yang buruk mahupun di kedudukan tercorot.

ultras no9ori



curva 4c, star of paroi

sebenarnya aku buat entry ini sebab nak cerita pasal ultras st pauli, ultras yang memang terkenal di dunia sebagai pergerakan 'haluan kiri' yang membawa perjuangan anti kapitalisme, anti perkauman dan bermacam2 anti lagi.

pasukan ini baru promoted ke bundesliga jerman musim ini. minggu lepas merupakan perlawanan penentuan untuk mereka- mereka perlu menang untuk terus kekal di divisyen utama itu. keputusan seri atau kalah akan buat mereka tersungkur ke divisyen bawah. Malangnya, mereka berhadapan dengan Bayern Munich.


Keputusan perlawanan itu? St. pauli 1 Bayern Munich 8.
St Pauli secara rasminya terkeluar dari bundesliga.

Aku ingat kata-kata commentator di akhir-akhir perlawanan itu, "you cannot see this anywhere in the world", komennya kepada ultras st. pauli yang masih menyokong dan berada di belakang pasukan mereka.




aku harap malaysia boleh buat macam tu

Wednesday, May 11, 2011

dendam part deux

"Kau percaya pada hari pembalasan, barrack?", soal aku. "Maybe", dia jawab. Aku tanya lagi; jika benar beribu nyawa telah terkorban di tangan osama, adakah tindakan yang dirancangnya itu adalah penyelesaian terbaik.

"Hanya kematiannya sahaja dapat membayar ribuan nyawa yang terkorban itu. Mayatnya? campak dalam laut", tambahnya lagi. Dendam warga amerika bakal terbalas.

Aku tidak tahu apa balasan tuhan paling setimpal bagi manusia yang membunuh beribu orang- mungkin orang itu patut dibunuh beribu-ribu kali? Ya, di hari pembalasan pasti ada perkara seumpama itu

dendam

"dendam, kau pergi goda si hindun tu", perintah raja afrit. "biar dibunuh anak adam yang digelar Singa Allah itu, senang sikit kerja kita". Raja Afrit senyum, sedang Hamzah Asadullah pun mudah ditewaskannya, apatah lagi umat manusia yang lain

*inspired by "masuk ke dalam cahaya" by abdullah hussain

Thursday, April 28, 2011

borhan part 1

hari jumaat itu seperti jumaat-jumaat yang lain. Borhan seperti biasa melakukan rutin pagi jumaatnya iaitu mandi wajib. Dia sebenarnya tidak berapa pasti kenapa dia akan mandi wajib setiap pagi jumaat, tapi yang pasti tabiat ini memang sudah lama dipraktikkan oleh Borhan.

mandi wajib Borhan sebenarnya tidak banyak beza dengan mandi yang biasa- cuma ketika mandi wajib beliau hanya perlu membaca niat, dan selang-selikan mencangkung dan berdiri. Dari sudut durasi, ia hanya lebih lama dari biasa dalam 2-3 minit.

sebenarnya ada dua kemungkinan yang boleh disimpulkan daripada tabiat borhan ini; pertama, mungkin borhan hanya solat pada hari jumaat. Ini membuatkan borhan mengambil langkah selamat dengan melakukan mandi wajib pada waktu paginya, supaya solat jumaatnya nanti diterima. Kedua, ya, Borhan mengadakan hubungan seks setiap malam jumaat, memuaskan nafsu sambil dapat pahala, siapa tak mahu!

tak banyak yang bermain di fikiran Borhan ketika beliau melakukan rutin ini. Cuma biasanya dia kadangkala berangan-angan mempunyai kolam renang di rumahnya sendiri. Jika angannya ini benar, dia hanya perlu membaca niat, dan kemudian berenang dengan gembira selama beberapa minit. Rutinnya ini akan menjadi lebih mudah. Dia juga pernah berfantasi melakukan rutinnya ini di kolam renang bersama-sama teman sepertidurannya. Kali ini, sambil melakukan rutin mandi wajib di kolam, mereka boleh 'menyelam sambil minum air'. Kalau terjadi perkara sebegitu, dia dan pasangannya hanya perlu memasang niat sekali lagi dan berenang-renang ria..

Borhan tersenyum di bawah pancuran mandinya. Tiba-tiba, pintu bilik air diketuk.

Wednesday, April 27, 2011

Wednesday, April 13, 2011

the tree


video the tree karya amir muhammad ni walaupun sekejap, cukup untuk mengubah perspektif aku bila melihat pokok-pokok di luar sana. Tambahan lagi kalau pokok yang ada buah, atau pokok yang ada burung hinggap. Aku akan mula berkira-kira siapakah yang menanam pokok itu dahulu; mungkin ada yang dah meninggal dunia tapi subhanallah, pahalanya masih berjalan. Bak kata tuan guru nik aziz dalam video ini, menanam pokok ialah satu ibadah- manusia berteduh, burung hinggap, anjing berteduh, ulat makan daun, tupai makan buah, semuanya akan dikira pahala. Video ini juga menunjukkan segala macam hasil daripada pokok dan tumbuh-tumbuhan lain, malah scene brader amir muhammad yang tengah testing baju tu pun menunjukkan baju itu adalah hasil daripada, tak lain dan tak bukan, the tree.

Ini mengingatkan tentang port cendol dekat area rumah aku.


port bawah pokok ni memang dah jadi tempat orang berniaga dari dulu lagi, mungkin dah 3-4 orang yang dah bertukar tangan berniaga kat sini. Siapalah agaknya yang menanam pokok ini, pokok di mana bukan sahaja orang boleh menghilangkan lapar, malah berbincang tentang jalan penyelesaian masalah politik dan bagaimana nak buat fasha sandha pakai tudung contohnya. Di bawah pokok ini juga makcik cendol ini boleh menyara kehidupan anak-anaknya yang mungkin satu hari nanti akan menjadi pemimpin negara. Pemimpin yang mungkin mengubah nasib seluruh penduduk tanah airnya. Makcik cendol ini juga telah memberi peluang kepada agen insuran close deal dengan bakal clientnya..dan abu yang memancing kawannya join MLM. Aku juga pernah tengok sorang apek rajin singgah ke sini untuk menjual buah-buahan dari meja ke meja. Sebelum chow, dia akan layan cendol dulu..

Pokok inilah saksi segala-galanya- dan mungkin orang yang menanam pokok ini akan tersenyum di akhirat nanti

jadi mulai hari ini, pergilah kamu menanam pokok sebelum kamu ditanam

Monday, March 07, 2011

bedmate part deux

baru-baru ni gua ada dapat kad kawin. gua pikir-pikir sapa la mamat yang menjemput gua ni. lepastu baru gua tau yang hantar kad tu member gua yang sempat gua kenal sekejap je dekat pusat asasi UM dulu, cindai nama dia. "sedap jugak nama betul mamat ni", ujar gua di dalam hati.

baru kejap tadi gua sempat berchatting dengan seorang lagi member gua di UM dulu. gua bagitau dia pasal wedding kad yg gua dapat.

"cindai nak kawin, kau turun tak?"

"cindai..aku lupa la yang mana..nama betul dia apa?"


gua yang turut terlupa nama betul cindai, telah menghantar mesej kepada bedmate gua yang berada di rumah.

"apa nama betul cindai?"

tut tut..gua mendapat reply.

"bunga sundal malam"

Saturday, February 19, 2011

pagi sabtu yang misterius

pagi tadi, gua terjaga dari tidur. gua tengok jam. "terlalu awal untuk hari sabtu", komen gua serius. tapi ada sesuatu yang tak kena. seingat gua malam tadi gua tidur di 'spot' belah kiri katil. apasal gua ada kat belah kanan? ni mesti 'bedmate' gua mengigau ni. sebut pasal bedmate baru gua sedar kenapa gua terjaga. kaki bedmate gua sedang menendang-nendang peha gua. tak berhenti dari tadi. terus gua tanya bedmate gua yang sedang khusyuk tidur. "ni mimpi main bola ke apa ni?". gua tak mengharapkan sebarang jawapan pun. tiba-tiba dalam tidur, beliau menjawab "main baseball.."

sekian sebuah kisah pagi sabtu yang misterius

Tuesday, January 25, 2011

skim ujrah PTPTN dengan kadar keuntungan 1% !


semalam aku sikit punya happy sebab permohonan 'ujrah' untuk PTPTN aku dah diluluskan!

lepastu aku tengok Letter Offer dia, amount financing dia jadi full balik!

siap ada charge tambahan dekat rm2k pulak tu!

kena bayar bulan2 potong gaji kat LHDN pulak tu!

kan ke menyusahkan tu!

pancing pakai 'islamic' dengan 1% pulak tu!

balance PTPTN aku tinggal 7k jela woi!

terus tak jadi aku accept skim ujrah tu!

kthxbai!

p/s: siapa yang tak pernah bayar ptptn walau sesen tu memang berbaloi untuk accept..tu pun kalau korang ada apply skim ujrah ni and lulus la. tapi still documents dia mintak banyak gila & charge dekat rm2k.

Wednesday, January 19, 2011

la iqro ha fiddin


aku akui agak malas nak update blog sekarang, kadang-kadang bila feel nak menulis tu ada tapi masa pulak yang tak sesuai dan alasan-alasan lain lagi. banyak topik yang aku cuba tulis di blog sebelum ini contohnya

1) pada tahun 2007 aku memasang azam untuk achieve rm1 juta pada umur 35 dan ya manusia tak pernah puas, azam 2011 kali ini membuatkan aku memandang diri aku pada 2007 sambil tersenyum "oh itu aku zaman baru-baru nak up dulu"

2) aku sering mengingati mati sejak akhir-akhir ini, kadang-kadang sampai berpeluh kerana itu hari aku terlibat dalam kemalangan jalan raya yang jika tuhan mahu, dia boleh menarik nyawa aku, isteri dan anak dalam kandungan isteri aku. tapi sebaliknya dia membenarkan ketiga-tiga nyawa ini hidup.

3) oh aku dah sebut di point sebelum ini, isteri aku tengah sakit muntah-muntah sekarang.

4) bermacam-macam hal remeh temeh dunia yang lain, tapi biasalah, segala apa yang kita ada dunia ini tidak akan kekal. gembira contohnya, tidak akan berkekalan dan akan digantikan dengan sedih atau marah. jadi bila aku marah akan sesuatu contohnya, jika aku tak tulis ke blog dengan cepat, marah itu akhirnya akan hilang dan tak ada apa yang perlu ditulis lagi, tak gitu?

jadi hari ini aku bukan nak cerita tentang itu semua (baca:1,2,3,4) tapi mengenai telefilem berjudul 'La iqro ha fiddin' atau 'tiada paksaan dalam agama' yang ditayangkan dalam astro beberapa hari lepas.

pasal jalan cerita dan berapa bintang, aku malas nak tulis. selain watak Doraisamy yang buta, aku tertarik pada satu babak di mana Dr. Edward (zach x factor) membaca buku yang ditulis oleh nurlia (sharifah amani) yang berbunyi:

"aku tidak ada alasan untuk tidak mencintai islam dan Al-Quran, kitab ini sungguh sempurna. Diturunkan dalam masa 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari- aturan yang sempurna. Kalamnya seimbang. kalimah 'al-hayah' (kehidupan) muncul 145 kali begitu juga 'al-mawt' 145 kali. kalimah al-har (panas) dan al-baard (sejuk) muncul 50 kali. begitu juga an-naf dan al-madharrah , kalimah al-toma'ninah dan al-dhiq, kalimah al-rahbah dan al-raghbah dan banyak lagi. semua kalimah ini serba seimbang, sama banyak, serba sempurna; tanda Al-Quran ini bukan ciptaan manusia"


aku percaya dr. edward memeluk islam selepas membaca buku tulisan nurlia (walaupun penonton tidak tahu dr. edward memang dah memeluk islam, sehingga ending). "dan banyak lagi" tulisan nurlia itu memang betul-betul banyak! Itu baru perkataan berlawan, belum perkataan sinonim dan perkataan yang betul menunjukkan bilangan contohnya perkataan al-yaum yang diulang 365 dan al-shahr diulang 12 kali. zaman google sekarang aku percaya kau orang boleh carik yang lain-lain itu sendiri.

ta!


p/s: oh ya, dulu masa gua eksiden masa belajar dekat U, perkataan pertama keluar dari mulut ialah "fu*k!", eksiden kali ini pulak gua cakap dengan tenang "awak ok tak?". mungkin satu pencapaian yang boleh gua banggakan

Tuesday, December 21, 2010

ultras malaya






sempena final yang bakal menjelang ahad nanti, aku tak nak cerita pasal norshahrul idlan talaha, amri yayah ataupun rita rudaini, tapi aku nak cerita pasal pemain ke-12 setiap pasukan bolasepak, iaitu penyokongnya.

perlawanan separuh akhir malaysia dengan vietnam aku rasa antara persembahan terbaik daripada bukan saja pemain, tapi penyokong 'ultras' pasukan malaysia yang menggelarkan kumpulan mereka ultras malaya. pergerakan ultras ni lazimnya kita dapat saksikan di kelab-kelab bolasepak eropah contohnya di turki dan serbia, tidak lupa juga south america. semangat ultras ini juga telah mula masuk ke asia tenggara terutamanya di liga bolasepak indonesia bertahun yang lalu.

antara basic rules pergerakan ultras yang aku sedikit sebanyak tahu, dan aku nampak di stadium pada malam itu ialah; berdiri sepanjang perlawanan: check. sentiasa menyanyi/bersorak bawah pimpinan 'kapla' yang pakai microfon tu:check. membuat 'port'di bahagian bucu padang:check. jadi secara basicnya ultras malaya ni mmg dah lulus dah ni..so siapa turun stadium jom meng'imarah'kan ultras malaya

ini pula ultras 'abang-abang' kelab istanbul, besiktas (aku pernah sampai stadium ni)




final AFF cup ahad ini, aku syak ultras indonesia pun akan buat port di bukit jalil.

malaysia menang kalah lain cerita, may the best 'ultras' win!

Monday, November 15, 2010

s curve


aku simpulkan beberapa perkara yang aku sedang usahakan sekarang boleh diwakili dengan graf s-curve di atas. point yang aku tandakan dengan 26/11 ialah 'resistance' atau titik tolak ke mana benda yang aku sedang kerjakan ini akan pergi- adakah ia akan melepasi resistance ini dan membuat 'lonjakan perdana', atau gagal dan jatuh merudum.

aku tandakan point 26/11 kerana pada tarikh itu MAHA 2010 secara rasminya berjalan dan kaunter petronas chemical group (PCG) membuat debut di bursa malaysia. Kedua-dua event ini sangat mempunyai impak dalam kerja yang aku buat sekarang ini.

untuk memecahkan resistance 26/11 ini bukan mudah. terlalu banyak perkara yang aku perlu korbankan. kadang-kadang ia masuk ke dalam mimpi. apa pun yang berlaku aku hanya mampu berusaha dan berdoa, at least aku melakukan sesuatu yang aku boleh katakan 'passion' sebab haritu aka ada baca, passion ialah 'whatever gets you so excited you jump out of bed at 5am'.

haritu aku ada terjaga pukul 4 pagi sebab sakit perut memulas-mulas, adakah ini bermakna salah satu 'passion' aku juga adalah berak?


ta

Sunday, November 14, 2010

Adesayur

Kawan aku tanya kenapa aku dah lama tak 'blogging'. Aku tanya dia balik adakah membaca dan memberi komen di blog-blog lain dikira sebagai blogging. Perbualan itu berlarutan untuk beberapa ketika selepas itu..

Aku berasa agak janggal ketika menulis ini, mungkin ada betulnya kata kawan aku tu aku dah lama tak blogging. Jadi kali ini aku nak cerita tentang pengalaman aku menonton perlawanan bolasepak manchester derby, man u vs man city pagi rabu yg lalu. Terikat 0-0 pada masa kecederaan, mancini memanggil adebayor (adesayur) utk masuk menggantikan tevez. Aku rasa paling lama adesayur mungkin ada 1 min utk beraksi dalam padang. Masa aku di UM dulu, aku panggil situasi ini 'player ni masuk tak payah pakai stokin'. sewaktu adesayur bangun untuk membuka jaket beliau, beliau sempat memberi satu 'look' kepada boss sen. Mancini. At that precise moment aku boleh memberi caption kepada tingkah laku adesayur ini sebagai "manusia tak pernah puas". Adesayur dibayar 150 ribu pound sterling seminggu hanya untuk bangun dari bangku simpanan, buka jaket dan berlari-lari anak selama seminit di dalam padang sebelum wisel penamat ditiup. Tapi beliau tidak mahu itu. Beliau mahu bermain sebagai 1st eleven dan dibayar 200k seminggu dan menjadi top scorer, dan (sila tambah).

Manusia tak pernah puas ni adalah salah satu lawak yang aku selalu share dengan isteri aku. Keluarga aku (mak,bapak,adik) aku juga sudah familiar dgn situasi2 "manusia tak pernah puas" yg aku ajarkan ini. manusia tak akan puas, jadi terma "retire" tidak wujud kerana ketakpuasan inilah yang kita perlu perjuangkan sehingga kita mati. The plan is never retire.

aku masih belajar untuk "enjoy" ketakpuasan-ketakpuasan yang telah muncul, muncul dan bakal muncul ini. setiap dari kita mungkin mempunyai ketakpuasan yang serupa tapi kita memerlukan "game" yang berbeza.

Oh patutla aku rasa janggal menulis sebab aku gunakan handphone. Mungkin aku perlukan desktop dengan skrin 42 inci

Sent from my Nokia phone